Saturday, January 18, 2014

Peranan Institusi Masjid Dalam Membantu Rakyat Meringankan Beban Kos Sara Hidup

Peranan Institusi Masjid Dalam Membantu Rakyat Meringankan Beban Kos Sara Hidup


Tahun 1975 penulis di darjah 2 Sekolah St Xaviers Institution Lebuh Farquhar Pulau Pinang cuma dibekalkan dengan wang saku 30 sen untuk berada di sekolah sessi petang . Dengan 30 sen cukup untuk membeli mee rebus sepinggan 10 sen ketika masa rehat beserta air sirap 5 sen.  Selepas waktu sekolah ramai pelajar akan berebut di luar pagar sekolah  membeli sengkuang yang di sapu kuah rojak yang berharga 5 sen sekeping dan air sirap atau oren juga 5 sen segelas. Maka setiap hari penulis ada baki 5 sen sebagai simpanan.
Untuk menonton wayang filem filem ulang tayang  Allahyarham Tan Sri P Ramlee di panggung Rex Pulau Pinang tiketnya cuma 30 sen sahaja pada tahun 1975 dan harga yang sama di kenakan di panggung Empire Kangar Perlis pada tahun 1980. Manakala sepinggan nasi kandar lauk daging dan telur rebus yang dijual mulai 630 pagi di pagar pejabat imigresen Pulau Pinang berhampiran Balai Polis Lebuh Pantai pada tahun 1975 cuma 30 sen dan ianya berlanjutan sehingga beberapa tahun kemudian tetap harganya tidak berubah. Pasembor mamak ketika itu cuma 30 sen sepinggan manakala laksa penang ada yang menjual 30 sen dan ada yang menjual 50 sen.
Nasi minyak berlauk daging dan sambal lada di jual pada harga 50 sen sebungkus pada tahun 1985 di gerai belakang pejabat pos Kota Bharu Kelantan.   Sebagai kanak kanak sekolah , membayar tambang bas MPPP atau Seri Negara untuk ke mana dalam Pulau Pinang ketika itu biasanya  antara 5 sen, 10 sen atau 15 sen. Malah kacang sebungkus cuma 5 sen yang biasanya juga turut diberi pada monyet monyet di Taman Botanical yang lebih di kenali di Pulau Pinang sebagai ‘waterfall’.
Harga Ikan mata besar atau ikan Uji Rashid cuma 10 sen sekati begitu juga ikan sardin 10 sen sekati yang di jual di pasar Chowrasta Pulau Pinang. Ketika tinggal di Kuala Perlis pada tahun 1980 penulis berbasikal ke jeti ikan menyerahkan wang seringgit bersama beg guni bersaiz besar kepada pekerja bot nelayan di jeti ikan terus di isi penuh dengan pelbagai jenis ikan tanpa perlu di pilih. Stok ikan seringgit tahan lebih 10 hari untuk  sekeluarga  ketika itu.


Setengah Sen boleh membeli pelbagai barangan keperluan ketika Negeri Negeri Selat . Perubahan zaman dan inflasi bukanlah sebab tunggal kenaikan harga barang. Monopoli, orang tengah yang mengaut keuntungan berlebihan,rasuah dan peraturan peraturan yang lebih melindungi kapitalis  antara punca utama kenaikan.

                              Suku Sen semasa Negeri Negeri Selat

Filem Ali Baba Bujang Lapok  Allahyarham Tan Sri  Dr P Ramlee secara bijak membuktikan peraturan peraturan pelik penguasa dalam perniagaan yang membolehkan ganja di jual  secara terbuka di pasar tetapi belacan  Pulau Pinang pula memerlukan permit.









Ketika itu tiada program transformasi, tiada 1 Malaysia, tiada BRIM, tiada Pemandu tetapi di sekolah pelajar seronok ke sekolah dengan wang saku 30 sen. Malah setiap kali cuti umum para pelajar diberi tiket wayang percuma untuk menonton cerita cowboy dan cerita perang yang berkualiti sekalipun di tonton berulang kali seperti filem P Ramlee.
Zaman berubah, dunia makin maju, tahun 1978 tv warna di perkenalkan di negara kita yang selepas tahun 1980 barulah harga tv warna menjadi murah dan mampu di miliki oleh rakyat biasa. Sekalipun begitu ramai lagi rakyat terus menerus menggunakan tv hitam putih yang berpintu yang boleh dibuka  dan ditutup seperti almari.
Nasi lemak antara 10 sen atau 15 sen sebungkus adalah perkara biasa ketika itu cuma mungkin sekitar pertengahan 80an nasi lemak berubah format menjadi seolah olah nasi yang sesuai untuk makan tengahari mungkin hasil idea peniaga untuk memastikan harga nasi lemak boleh di jual beringgit ringgit.
Demikianlah tadi serba ringkas sedutan keadaan harga barangan ketika penulis berada di Sekolah Rendah dan Menengah antara awal 70an dan 80an.
Kini tahun 2014, ikan kembong yang penulis beli sekati cuma 30 sen sekitar tahun 1975 kini ada pekedai yang menjual sehingga  rm18  sekilogram. Begitu juga dengan ikan cencaru yang dulunya 30 sen sekati kini rm8.99 sekilogram. Tambang bas sekolah bulanan antara Kuala Perlis dan Kangar awal 80an dulu cuma belasan ringgit sebulan, kini di Kuala Lumpur terkejut penulis mendapat tahu lebih rm100 seorang pelajar untuk jarak yang dekat.
Seluruh negara mempunyai begitu banyak Masjid yang boleh diperluaskan lagi fungsinya daripada semata mata menjadi lokasi beribadah. Fungsi Masjid  sebenarnya untuk membantu rakyat dalam pelbagai aspek kehidupan. Kedai runcit, kantin daripada sarapan hingga ke makan malam, kedai pakaian sekolah, pasar mini, pusat tuisyen, khidmat bas sekolah, menternak lembu dan ayam dilokasi berbeza disembelih dan kemudiannya di jual di perkarangan Masjid dan pelbagai bidang perniagaan Halal lain yang boleh diceburi Masjid dengan matlamat membantu Ummat meringankan beban kos sara hidup. Jika pasaraya besar boleh menjual barangan dengan lebih murah, Masjid juga boleh berbuat demikian jika Masjid Masjid seluruh negara bersatu di bawah satu jenama contohnya ‘Masjid Incorporated’’. Tuisyen untuk semua subjek serta Kelas Al Quran boleh diadakan secara percuma oleh pihak Masjid dengan membayar elaun yang nominal pada guru guru sekolah berdekatan. Khidmat van/bas sekolah boleh dikendalikan pihak Masjid pada kadar 50% daripada harga pasaran. Begitu juga dengan segala jenis kelengkapan persekolahan yang memungkinkan Masjid Masjid menjual pada harga jauh lebih rendah dari harga pasaran. Teringat saya lewat 70an dulu sebuah syarikat percetakan yang terletak di Kg Melayu Aceh Pulau Pinang menjual secara runcit bukan pukal senaskah surah Yasin pada harga cuma 10 sen . Maknanya peniaga zaman itu yang membeli secara pukal akan mendapat harga lebih rendah dari 10 sen senaskah. Tentunya Jemaah Masjid akan menjadi lebih ramai daripada biasa kerana selain dapat mengerjakan Solat Lima Waktu secara berJemaah, para Qariah dapat melakukan pelbagai urusan lain di persekitaran Masjid dengan selesa , cepat dan amat berpatutan harganya.

Ada beberapa Masjid di Kuala Lumpur dan Selangor yang melabur untuk mendapat pulangan namun cara begitu tidak dirasai oleh Jemaah yang majoritinya rakyat biasa. Peluang pekerjaan juga lebih dibuka luas bila pihak Masjid mula aktif agenda berniaga untuk membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup.
Segala formaliti mengenai perniagaan boleh di bincangkan di peringkat pentadbiran Masjid dan seterusnya mengikut formaliti biasa menubuhkan perniagaan serta mendapatkan segala kelulusan berkaitan, permit dan sebagainya. Pihak pentadbiran boleh memaklumkan pihak Majlis Agama di peringkat negeri masing masing untuk mendapatkan pandangan dan nasihat dsbnya. Namun terdapat beberapa Masjid sekitar Selangor dan Kuala Lumpur yang aktif berniaga tanpa halangan malah ada yang dapat membuka hotel dalam bangunan Masjid beserta dewan seminar, bilik mesyuarat dan kafe yang beroperasi dari pagi hingga ke malam.
Pihak pengurusan Masjid perlu berusaha sendiri mencari jalan untuk mendapatkan barangan keperluan harian dengan harga jauh lebih murah dan dijual semula juga dengan harga lebih murah dari pasaran. Manakala sayuran serta ternakan boleh di usahakan sendiri oleh pihak Masjid di lokasi berbeza untuk di jual di perkarangan Masjid.
Dengan menumpukan sebahagian besar aktiviti harian di persekitaran Masjid juga boleh sekurang kurangnya menjadikan bilangan Saf yang lebih banyak ketika Solat dan secara tak langsung mengembalikan zaman kegemilangan Islam dimana pelbagai urusan di selesaikan di Masjid. Tentunya isu Mahram, isu aurat dll akan secara tidak langsung terjaga bila berurusan di persekitaran Masjid. Cuba kita lihat di zaman ini pusat pusat perniagaan yang maju di Makkah  Al Mukarrammah dan Madinah Al Munnawarrah berpusat di luar kawasan yang amat hampir dengan Masjidil Haram yang tentunya memudahkan penjagaan Solat Fardhu. Malaysia boleh maju ke hadapan dengan mempelopori aktiviti perniagaan yang pelbagai yang di tadbir sendiri oleh pengurusan dan kakitangan Masjid yang boleh lengkap dengan para professional seperti Ketua Pegawai Ekekutif (CEO), Ketua Pegawai Kewangan (CFO) yang melapor dan bertanggungjawap kepada Lembaga Pengarah (BOD).

Pusat Perniagaan  yang pesat berkembang dan Hotel Dar Al Hijra yang terletak 800 kaki dari Masjid Nabawi Madinah Al Munawarrah


Jika dilakukan dengan betul maka isu untuk mengelakkan kenaikan harga barang tanpa asas yang kukuh untuk kenaikan mendadak boleh di kawal dengan lebih mudah dan memberikan persaingan sihat untuk para peniaga konvensional agar lebih bertimbangrasa dan beretika dalam isu isu membabitkan harga barangan dan perkhidmatan yang melibatkan rakyat sebagai pengguna.
Pelbagai persatuan juga boleh di tubuhkan oleh pihak Masjid seperti Persatuan Pengguna contohnya sebagai langkah tambahan kepada persatuan pengguna yang sedia ada dalam menambahkan pelbagai program kesedaran pengguna terhadap pelbagai isu kepengunaan yang melibatkan majoriti rakyat biasa terutamanya penindasan golongan kapitalis dalam pelbagai bentuk yang adakalanya menjelma di bawah label Islam lengkap dengan Penasihat Shariah yang mengeluarkan pelbagai Fatwa seperti kata propaganda iklan mee segera yang cepat di masak dan di canangkan sedap di makan,  untuk pelbagai imbuhan diri yang lumayan kiri kanan atas dan bawah. Wallahualam

Dr Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar
Peguambela & Peguamcara
Kuala Lumpur



No comments:

Post a Comment