Tuesday, July 2, 2013

Melangkah ke Universiti Ramadhan 1434 Hijrah-Menoleh Semula Kewajipan Zakat Fitrah

Melangkah ke Universiti Ramadhan 1434 Hijrah-Menoleh Semula Kewajipan Zakat Fitrah

Awal Ramadhan bulan penuh keberkatan di permulaan , pertengahan dan di akhirnya. Bulan mulia penuh kerahmatan  keampunan ini artikel pertama saya untuk menyambut Ramadhan. Bermulanya 1 Ramadhan bermakna bermulalah Solat Sunat Terawikh dan juga tanggungjawap kewajipan menunaikan Zakat Fitrah kepada golongan fakir miskin dan semua asnaf yang berkaitan mengikut susunannya. Fakir dan Miskin adalah dua golongan yang berbeza di mana darjat Fakir adalah darjat yang paling kronik kepapaan berbanding dengan Miskin namun kedua dua Asnaf ini adalah lebih utama daripada Asnaf Asnaf lain. Justru sekiranya di tetapkan RM8 Zakat Fitrah untuk setiap seorang ahli keluarga maka apalah salahnya menggenapkan RM10 bagi setiap ahli keluarga. Tidak pernah wujud amalan  satu Standard Aqad Berdoa dan memberi resit dalam agama kita ketika Fakir Miskin menerima Zakat sekalipun ketika zaman pada Khalifah utama Islam.
Amalan Aqad dan memberi resit terutamanya adalah rekaan manusia untuk membuatkan rasa konon pentingnya manusia membayar Zakat pada penguasa menerusi amil amil yang di lantik namun dari segi keutamaan Asnaf masyarakat patut membayar terus kepada golongan utama dalam Asnaf iaitu Fakir dan Miskin, lupakan berdoa, lupakan resit, lupakan Aqad. Ingat bila tangan kanan memberi tangan kiri tak seharusnya tahu. Kepentingan perakaunan zaman moden untuk merekod kutipan amil tidak di nafikan namun membayar kepada amil tidak seutama membayar Zakat terus kepada golongan Fakir dan Miskin.
Apa perlunya Majlis Agama atau badan badan berkaitan mengadakan majlis penyampaian Zakat yang mana tetamu yang hadir termasuk VIP jauh lebih ramai daripada penerima Zakat? Agaknya berapa kos majlis berbuka puasa Majlis Agama untuk menyampaikan Zakat dan sumber dana mana untuk penganjuran majlis sedemikian yang di hadiri biasanya antara 50 orang atau 100 orang penerima sahaja berbandingkan dengan dewan yang biasanya dipenuhi jauh lebih ramai tetamu jemputan.
Dimana kah terletaknya Aqal penganjur majlis berbuka puasa bila cuma menyerahkan setahun sekali antara RM250 hingga ke RM650 kepada penerima Zakat yang belum tentu Fakir Miskin kerana berpakaian agak indah untuk hadir di majlis sedemikian. Apakah salah jika pegawai pegawai Zakat pergi sendiri ke setiap pelusuk kampong juga Bandar mencari penerima Zakat tanpa banyak menyoal mereka dan memberikan mereka apa apa borang. Jika mahukan bukti gunakan handphone snap foto mereka dan  bila pulang ke pejabat download ke komputer.
Apakah agaknya nilai perniagaan industri berbuka puasa untuk majlis menyampaikan Zakat? Ianya tentu akan lebih menguntungkan pihak lain selain daripada golongan sasaran iaitu Fakir dan Miskin.
Tidak di nafikan pihak Majlis Agama ada menyediakan pelbagai bantuan bulanan yang amat kecil untuk golongan Fakir dan Miskin. Inipun memerlukan formaliti permohonan serta temuduga dan sebagainya yang biasanya berlangsung di pejabat. Agak agaknya adakah Fakir dan Miskin yang berpakaian compang camping dan tinggal di rumah serupa rumah Allahyarham Ibrahim Din dalam Filem  Do Re Me ataupun di rumah batu projek perumahan terbengkalai, akan turun ke pejabat agama untuk memohon bantuan.  Tidak di nafikan ada juga pejabat Agama yang menjadi effisen dengan mengeluarkan bantuan tunai segera kecemasan sehingga RM2 ribu dalam tempoh 2 jam tetapi banyak manakah pejabat agama sebegini dalam Malaysia.

Seingat saya ada kes pendatang Myammar yang memiliki Kad Perlarian di Bangsa Bangsa Bersatu  lama dulu di siarkan Malay Mail tidak mendapat bantuan pejabat kebajikan kerana tinggal di rumah batu separuh siap dan memiliki peti tv zaman tok kaduk. Peti tv tersebut di lapurkan  disedekahkan jiran kerana keluarga berkenaan mempunyai ramai anak dan jika dijual RM20 (Dua Puluh Ringgit) pun belum tentu laku kerana ianya tv warna kecil model seakan akan tahun 1978 tahun tv warna di perkenalkan di Malaysia. Soal pendatang tanpa izin atau tidak bukanlah sepatutnya menjadi isu menentukan golongan Fakir dan Miskin. Begitu juga soal beragama Islam atau tidak sepatutnya tidak menjadi isu kerana golongan bukan Islam iaitu Kafir Dhzimmi (yang tidak menentang pemerintahan Islam) layak menerima zakat asalkan mereka juga Fakir Miskin. Jika kita andaikan negara kita negara Islam maka ramai juga golongan bukan Islam yang Fakir Miskin layak menerima Zakat. Di sinilah dapat di rasai keindahan agama Islam tanpa bersusah payah berceramah.
Amalan adat turun menurun dulu dulu ialah membayar Zakat Fitrah di malam raya atau sebelum Solat Eid ul Fitr. Jika ini dibiarkan begitu saja maka orang ramai  generasi kemudian akan tersalah faham buat selama lamanya seolah olah itu saja masa untuk membayar Zakat Fitrah. Membayar Zakat Fitrah bermula seawal hari pertama berpuasa sehinggalah sebelum Solat Raya. Jika kita letakkan diri kita sebagai Fakir Miskin tentu kita akan faham yang wang amat berguna jika diterima awal Ramadhan termasuk untuk persiapan berbuka puasa sekeluarga yang ala kadar serta persiapan raya. Jadi jika ramai ramai berebut memberikan pada Fakir Miskin di pagar Masjid sebelum Solat Raya agaknya kita menzalimi kegembiraan Raya mereka tetapi mereka tidak akan tunjukkan langsung pada kita apa yang mereka rasa.
Bayarlah Zakat Fitrah seawal mungkin  terus kepada golongan Fakir Miskin dan pagi raya kita bersedekahlah pula bukan lagi memberi Zakat Fitrah kepada Fakir Miskin tetapi  cuma bersadaqah. Cubalah kita perhatikan gelagat mereka yang ke Masjid nak Solat Raya mentang mentang telah dijelaskan Zakat Fitrah pada penguasa/amil bila masuk ke kawasan Masjid mereka menjadikan golongan peminta sedekah seolah olah tidak wujud. Tidak mengapa jika tidak mahu beri apa apa tetapi apa salahnya menunjukkan muka ceria sambil sedekahkan senyuman. Kita nak Solat Raya nak sembah Allah swt tetapi pada Hamba Allah kita menunjukkan kesombongan kita dimana selepas itu bergegas pulang untuk menyambut tetamu mahupun ke majlis raya mereka mereka yang sekufu/sedarjat saja.
Kini sudah mula ada usaha usaha syarikat korporat memandangkan mendapat pengecualian cukai telah membawa anak anak yatim untuk membeli belah pakaian yang di sukai mereka untuk menyambut hari lebaran namun apa pula dengan golongan yang tinggal di rumah seperti reban ayam yang ‘engineernya’ serupa Arwah Ibrahim Din filem Do Re Me. Sebenarnya membawa anak anak yatim ke hotel lebih memberi banyak kesulitan kerana terpaksa berSolat Maghrib dalam keadaan tidak selesa malah Solat Isya dan Terawikh pula terpaksa dilewatkan selepas mereka sampai ke asrama mereka.


Amalan Malaysia Bolehlah kot kita adakan nyanyi nyanyian pelbagai persembahan hiburan ketika berbuka puasa walhal ketika berbuka adalah waktu Maghrib berterusan hiburan hingga masuk waktu Isya dan Terawikh di Masjid Masjid. Betul Maghrib boleh dikerjakan dulu sebelum menghiburkan tetamu tetapi apakah agama kita mengajar berhibur sambil berbuka puasa malah ada pula yang adakan cabutan bertuah di sambut dengan gelak ketawa.
Golongan kaya tidak sepatutnya membuang duit untuk buffet  Ramadhan yang bermula dari RM69 hingga RM149  seorang di beberapa lokasi mewah  sepertimana harga yang di iklankan tahun lepas.
Apa gunanya lebih 200 juadah untuk seorang makan? Adalah lebih Afdal wang sebegitu di beri pada Fakir Miskin sebagai sedekah amal jariah bulan Ramadhan. Wang lebih banyak di bazirkan ketika berbuka pada mereka yang mengambil kesempatan untuk bertemu buah hati atas alasan berbuka puasa malah dosa pun boleh meningkat kerana berbuka puasa pasangan bercinta biasanya berjam jam, ke mana agaknya Isya dan Terawikh? Jadi macam anak anak yatim jugalah kot lewat malam baru dikerjakan al maklum Makkah pun baru nak mula Isya 130 pagi waktu Malaysia.
Berbalik kepada isu Zakat  secara umumnya saya pernah menyentuh isu ini secara langsung di Wacana anjuran YPEIM  di Kuala Lumpur beberapa tahun lepas serta juga di Langkawi International Islamic Finance  Conference (LIFE 3)  anjuran Universiti Insaniah di Berjaya Resort Langkawi yang dirasmikan oleh KBDYMM SPBY Di Pertuan Agong di mana YA Bhg Tun Dr Mahathir Mohamad menerima Anugerah Kehormat Islamic Finance (LIFE)  daripada YA Bhg Tan Sri Uztaz Azizan Razak  semasa LIFE 2 di Pelangi Beach Resort Langkawi.
Semasa bercakap di sessi soal jawap bersama YA Bhg Tun Dr Mahathir, saya menarik perhatian peserta persidangan kepada situasi di mana ketika Saidina Umar, berlaku di depan Saidina Umar seorang miskin datang meminta Zakat daripada pegawai Baitul Mal di depan Saidina Umar di berikan pegawai berkenaan 2 ekor unta kepada si Miskin itu. Lalu Saidina Umar bertanya kepada pegawainya ‘’apa yang kamu buat?’’  ‘ Saya sedang berikan hak Zakat si Miskin ini wahai Saidina’. Saidina Umar terkejut lalu memarahi pegawainya , ‘’kenapa kamu bagi dia 2 ekor sahaja? Kamu perlu bantu dia sehingga dia terlepas dari belenggu kemiskinan dan menjadi pembayar Zakat. Beri dia 200 ekor unta’, arah Saidina Umar. Lalu si Miskin mula berniaga dan membiak Unta dan menjadi kaya raya dan akhirnya menjadi pembayar Zakat. Secara langsung di mikrofon saya cadangkan pada YA Bhg Tun Dr Mahathir agar mencari jalan agar di hentikan bayaran rm200-rm650 sekeluarga sebulan ini tetapi sebaliknya di berikan RM200-300 ribu sekeluarga dalam bentuk wang Zakat di sambut dengan riuh rendah dewan persidangan manakala YA Bhg Tun pula tersenyum sambil mencatitkan sesuatu.        Seterusnya, kita tidak perlu  terlampau terlebih risau akan salah guna wang berkenaan, mungkin 10 peratus akan menyalahgunakan wang berkenaan namun ianya tidak patut menghalang hak 90 peratus lagi Fakir Miskin.
Menjawap  satu persoalan yang di timbulkan YA Bhg Tun Dr Mahathir di sessi yang sama LIFE 3 dengan kehadiran YA Bhg Tan Sri Uztaz Azizan Razak dan Rektor Universiti Insaniah Dato Seri Wira Jamil Osman, saya memaklumkan secara terbuka ada sebuah negeri di semenanjung pada satu tahun di mana kombinasi penerima Zakat untuk Fakir dan Miskin adalah RM6 juta tetapi untuk amil sahaja RM 6 juta maknanya Asnaf Amil dan mengatasi Asnaf Fakir dan Miskin untuk negeri berkenaan pada tahun yang berkaitan.      Jadi kita tidak patut terkejut jika mengetahui untuk apa lagi wang Zakat di belanjakan malah pernah beberapa tahun lepas Pengarah Majlis Agama sebuah negeri di selatan tanahair di dakwa di Mahkamah pecah amanah wang Zakat RM 1 juta.
Baru baru ini , ketika sessi perbincangan cadangan penganjuran  Langkawi International Islamic Finance Conference 2013  (LIFE 4) yang dirancang untuk tahun 2013 di pejabat YA Bhg Tun Dr Mahathir, beliau telah memaklumkan kepada saya di sebelah kanan mejanya satu timbunan fail mengenai pecahan penerima Zakat setiap negeri. Begitulah rapinya persediaan YA Bhg Tun Dr Mahathir Mohamad untuk berbicara isu isu Zakat dan Kewangan Islam untuk persidangan akan datang. Alangkah baik dan uniknya jika tahun ini  pihak pentadbiran baru Kerajaan Negeri dan juga pengurusan baru Universiti Insaniah menjemput juga semua pihak tanpa mengira kefahaman parti politik untuk turut sama berbincang isu isu kepentingan bersama ini. Mana tahu dengan kehadiran tokoh tokoh ternama politik tanahair  dapat menyejukkan suhu panas politik negara sekurang kurangnya untuk isu isu Zakat dan Kewangan Islam.   Walaubagaimanapun, samada LIFE 4 akan diteruskan dengan format asal  sepertimana yang telah dirancang atau format baru ianya kini terletak kepada budibicara YAB Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dan juga Rektor baru Universiti Insaniah.
Di satu sessi Wacana YPEIM di Kuala Lumpur beberapa tahun lepas, ada seorang panelis mencadangkan supaya wang zakat di berikan sebagai pinjaman kepada golongan Fakir dan Miskin disamping boleh mengenakan caj/keuntungan yang pada saya menyerupai bunga.
Disebabkan ahli ahli panel yang bijak bijak  yang bergelar Professor tidak mahu memberikan pandangan kerana mungkin risaukan jawatan panelis berkenaan daripada Jabatan Perdana Menteri maka saya pun menyentuh isu berkenaan dengan menekankan wang Zakat adalah hak golongan Fakir dan Miskin, kenapa pula perlu di pinjam apa yang sudah menjadi hak mereka? Sudahlah hak mereka di pusing 360 darjah menjadi pinjaman, nak di kenakan caj pula bila pembayaran dibuat. Saya tekankan dalam Muamalat kita ada satu bentuk pinjaman iaitu Qardhul Hasan iaitu pinjam dan pulangkan jumlah yang sama tetapi si peminjam boleh dengan sukarela membayar lebih sedikit tetapi ianya tidak boleh sekali kali di jadikan syarat pinjaman. Saya tekankan, lupakan Qardhul Hasan, wang Zakat adalah hak milik Fakir Miskin dan asnaf asnaf lain. Apa guna setiap tahun umum kutipan Zakat meningkat dan simpanan beratus juta tetapi  kewujudan golongan Fakir Miskin tak dapat diselesaikan. Wang Zakat bukan di simpan untuk di bangga banggakan tetapi bertujuan menyelesaikan masalah semua golongan Asnaf. Agaknya ajaran sesat mana yang mereka berkenaan pegang umumkan pada media simpanan ratusan juta tapi rakyat ramai yang merempat tak berapa sedar kerana seronok bekerja dalam pejabat berhawa dingin, elok di jual saja hawa dingin dan segala jenis komputer canggih di pejabat agama biar mereka bekerja dan rasa apa yang golongan susah rasa.
Tetapi mutaakhir ini  dilaporkan telah pun wujud Fatwa yang membolehkan wang Zakat di pinjam namun cuma ulama/Mujtahid berkelayakan saja yang patut mengkaji dan memberi pandangan pada Fatwa sedemikian. Janganlah ada Mujtahid Mee Segera dalam isu isu penting agama kita, serahkan pada yang benar benar berilmu seperti contohnya Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

 Akhir sekali masih mengenai Zakat dan Sadaqah, masyarakat tidak perlu berburuk sangka kepada golongan Fakir Miskin pendatang asing semata mata kerana enggan membayar Zakat Fitrah ataupun memberikan Sadaqah pada golongan berkenaan. Janganlah serta merta kita melabel mereka sindiket dan sebagainya. Niat kita untuk beramal maka kita bayar Zakat Fitrah ataupun bersedekah semata mata atas dasar  dzahir mereka nampak dhaif. Jika ada yang menuduh mereka kaya raya siap mengira pendapatan bulanan mereka pula, apa kata cuba sendiri duduk tadah tin susu cap junjung di kaki kaki lima mahupun di pintu Masjid. Rasa sendiri pengalaman sedemikian agak agaknya boleh kaya? Cubalah sedemikian daripada selepas Solat Subuh sampai ke tengahmalam.  Jika ada operasi jabatan kebajikan rasalah juga sekali naik lori penguatkuasa.
Yang kita perlu faham sebenarnya Rezeki kuasa Allah swt, Allah swt akan kurniakan sebaik baiknya pada golongan yang sepatutnya sahaja. Bak kata Professor Izi Hot FM, renung renungkan, selamat beramal di Ramadhan Al Mubarak/Al Kareem 1434 Hijrah.

Dr Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar
Kuala Lumpur